أَيَّامًا مَّعْدُودَٰتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُۥ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُۥ ۚ وَأَن تَصُومُوا۟ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Ayyaamam ma'duudaat; faman kaana minkum mariidan aw'alaa safarin fa'iddatum min ayyaamin ukhar; wa 'alal laziina yutiiquunahuu fidyatun ta'aamu miskiinin faman tatawwa'a khairan fahuwa khairulo lahuu wa an tasuumuu khairul lakum in kuntum ta'lamuun.
Artinya: (Yaitu) beberapa hari tertentu. Maka barangsiapa di antara kamu sakit atau dalam perjalanan (lalu tidak berpuasa), maka (wajib mengganti) sebanyak hari (yang dia tidak berpuasa itu) pada hari-hari yang lain. Dan bagi orang yang berat menjalankannya, wajib membayar fidyah, yaitu memberi makan seorang miskin. Tetapi barangsiapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itu lebih baik baginya, dan puasamu itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
Nampak begitu ringkas uraian firman Allah diatas. Tetapi makna antara ringkasnya pernyataan Allah ini dengan kata-kata makhluk-Nya tidaklah sama. Cukuplah bagi seorang hamba yang beriman kepada Allah Rabbul Jalil untuk meyakini akan jaminan yang diberikan ini. Sesungguhnya ibadah puasa bukanlah suatu yang membebankan, tetapi merupakan satu peluang yang diberikan oleh Allah Azza wa Jalla untuk kita mencari dan mengumpul sebanyak mungkin pahala buat bekalan dan kesenangan di negeri akhirat kelak. Sepatutnya, seorang hamba yang tulus imannya dan setia ketaatannya tidak perlu lagi bertanya apakah hikmah dan kelebihan di sebalik perintah Allah ini.
Namun, Rasulullah sholallaahu 'alaihi wassalam tidak pernah lekang dari memberi galakan dan motivasi untuk umatnya supaya membuktikan keimanan ini dengan menjalankan perintah Allah Azza wa Jalla dengan penuh sempurna dan mengharapkan balasan yang dijanjikan. Justeru, Baginda sholallaahu 'alaihi wassalam memberikan khabar gembira untuk mereka yang berpuasa. Berbahagialah wahai orang yang berpuasa dengan perkhabaran ini: Puasa sebagai perisai.
Di dalam satu hadits Nabi Muhammad sholallaahu 'alaihi wassalam telah menganjurkan kepada mereka yang bersangatan keinginannya untuk berkahwin, tetapi tidak mampu, supaya berpuasa. Sabda Nabi Muhammad sholallaahu 'alaihi wassalam yang bermaksud: "Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu yang berkemampuan untuk kahwin, maka berkahwinlah. Sesunguhnya ia lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya". ( Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Selanjutnya dinyatakan oleh Rasulullah sholallaahu 'alaihi wassalam di dalam satu hadith qudsi yang bermaksud: Dari Abu Hurairah ra berkata: telah bersabda Rasulullah sholallaahu 'alaihi wassalam: "Allah subhanahu wata 'ala telah berfirman: Setiap amalan anak Adam itu baginya (ganjaran pahala yang ada hadnya), kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya, dan puasa itu perisai, dan apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah ia mengeluarkan kata-kata lucah dan tidak juga bercakap kasar. Sekiranya ada orang lain yang mengejinya atau ingin berkelahi dengannya, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berpuasa. Dan demi jiwa Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada haruman kasturi, untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan: ketika dia berbuka, satu kegembiraan baginya, dan tatkala dia bertemu dengan Tuhannya, dia akan gembira dengan ibadah puasanya". (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Di dalam hadits qudsi ini, Allah subhanahu wata 'alat menyatakan bahawa puasa mempunyai ganjaran yang sangat berganda banyaknya berbanding dengan amalan-amalan lain. Jika amalan yang lain dijanjikan ganjaran pahala sehingga tujuh ratus pahala dan lebih, tetapi bagi puasa ini hanya Allah subhanahu wata 'ala sahaja yang mengetahuinya. Tidak dinyatakan kadar pahalanya. Maka Allah subhanahu wata 'ala akan menambahkan pahala mengikut kehendak-Nya sehingga mungkin tidak dapat dihitung oleh manusia.
Bagi orang yang berpuasa juga akan menikmati dan mengecapi dua kegembiraan; kegembiraan dunia dan kegembiraan akhirat. Bayangkan setelah sehari suntuk seseorang itu menahan diri dari lapar dan dahaga, lalu tiba saat terbenamnya matahari. Dia dapat menikmati segala juadah bagi menghilangkan lapar dan dahaganya. Inilah kegembiraan di dunia. Ada pun kegembiraan yang lebih besar dan utama adalah tatkala dia bertemu dengan Tuhannya di akhirat kelak. Detik itu, dia akan dapat melihat dan mengecapi segala ganjaran besar yang telah disediakan untuknya sebagai balasan kepada ketaatan yang telah dutunjukkan. Bau mulut orang yang berpuasa juga lebih wangi disisi Allah daripada bau kasturi pada hari akhirat. Ia menjadi tanda bahawa seseorang itu termasuk dalam golongan mereka yang berpuasa semasa di dunia dan dia berhak untuk mendapat segala balasan yang telah dijanjikan.
Al-Rayyan untuk orang yang berpuasa. Al-Rayyan adalah salah satu pintu syurga. Ia disediakan hanya untuk mereka yang berpuasa. Daripada Sahl bin Said r.a, bahawa Nabi sholallaahu 'alaihi wassalam bersabda bermaksud: "Sesungguhnya di dalam syurga itu ada satu pintu yang dinamakan al-Rayyan, orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat, tidak akan masuk seorang pun selain daripada mereka (yang berpuasa), apabila telah masuk orang yang berpuasa, pintu ini akan ditutup, maka tidak dapat masuk seorang pun yang lain melalui pintu ini". (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
0 komentar:
Posting Komentar